Pemandu treler lesap selepas 14 tiang telekomunikasi tumbang
Pemandu treler lesap selepas 14 tiang telekomunikasi tumbang
Slim River: Beberapa laluan di pekan Slim River ditutup sementara waktu berikutan 14 tiang telekomunikasi tumbang awal pagi tadi, dipercayai tersangkut pada sebuah treler.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian disedari beberapa anggota polis dari Balai Polis Slim River ketika membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) 8.30 pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan mendapati 14 tiang terbabit tumbang menyebabkan beberapa laluan kenderaan terhalang.
“Kejadian itu berlaku jam 6.30 pagi dan disaksikan penduduk setempat malah ada yang sempat merakamkan gambar dan video.
“Saksi memaklumkan ketika pemandu treler bersama dua kelindan melalui laluan terbabit, wayar yang merentangi jalan tersangkut pada kenderaan.
“Akibat kejadian itu, beberapa tiang tumbang dan wayar putus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sulizmie Affendy berkata, pemandu treler melalui jalan itu dipercayai untuk berpatah balik ke jalan persekutuan arah Ipoh.
Menurut, kawasan yang terjejas adalah Lorong Stesyen, Jalan Ahmad Boestaman sehingga ke Jalan Ibrahim.
“Usaha mengesan pemandu sedang dijalankan kerana dia tetap meneruskan perjalanan selepas kejadian.
“Pemandu berkenaan boleh dikenakan tindakan saman di bawah Rule 10 LN 166/59, ” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Muallim sedang membantu memastikan aliran trafik di pekan berjalan lancar, lapor HM ONLINE.
Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Gambar: Media sosial