Pemandu Nissan Navara hadapi enam pertuduhan
Pemandu Nissan Navara hadapi enam pertuduhan
BENTONG – Pemandu Nissan Navara yang mengakibatkan kematian 4 beranak di persimpangan lampu isyarat CSR Kilometer 2, Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, pada 28 Januari lalu, didakwa di mahkamah Majistret Bentong atas enam pertuduhan, hari ini.
Pemandu tersebut, Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44 tahun, dituduh dengan empat pertuduhan membunuh dan dua pertuduhan berkait dadah di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.
Dia yang memandu dibawah pengaruh dadah dan merempuh Vellfire dalam kemalangan jalan raya menyebabkan empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43 tahun, Ahda Dalili Mohd Nazri,14 tahun; Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7 tahun dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 5 tahun maut.
Bagaimana pun tertuduh yang berasal dari Lipis dan bekerja sebagai penternak ikan tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa pada jam 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah
Bagi kesalahan ini tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 38 B Akta Dadah Berbahaya
Dalam pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.
Tertuduh walau bagaimanapun tidak diberikan jaminan termasuk kes berkaitan dadah disebabkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes dan mendapatkan keputusan bedah siasat keempat-empat mangsa serta laporan kimia tertuduh.-SAHIH.