Pemandu Melulu Terbabas di Genting, Polis Siasat Tindakan Bahaya
Pemandu Melulu Terbabas di Genting, Polis Siasat Tindakan Bahaya
BENTONG – Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai memandu secara berbahaya sebelum terbabas di Kilometer 14.7, menghala naik ke Genting Highlands, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh pemandu terbabit di Balai Polis Goh Tong Jaya pada Ahad, 23 Februari, kira-kira jam 11.05 pagi.
Menurut beliau, insiden itu turut tular menerusi sebuah video berdurasi 12 saat di akaun TikTok yang menunjukkan kenderaan tersebut dipandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Siasatan awal mendapati tindakan pemandu berkenaan membahayakan pengguna jalan raya lain. Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bentong telah menghubungi individu terbabit untuk tampil memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
“Polis Bentong akan mengambil tindakan tegas serta menjalankan operasi berterusan bagi memastikan laluan ini tidak dijadikan seperti litar lumba oleh pemandu tidak bertanggungjawab,” tegasnya.-SAHIH