Pemandu maut, tiga sekeluarga cedera Hilux terbabas di LPT
Pemandu maut, tiga sekeluarga cedera Hilux terbabas di LPT
TEMERLOH – Perjalanan sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut manakala isterinya serta dua anak mereka cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas di Kilometer 116.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai lelaki Melayu berusia 41 tahun yang juga pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, ketika kejadian, jalan berkenaan dalam keadaan lurus serta permukaan jalan basah akibat hujan. Kawasan kejadian juga dikatakan suram kerana tiada lampu jalan dan hanya bergantung pada lampu kenderaan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu datang dari arah Bentong menghala ke Jerantut. Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri sebelum berpusing ke kanan dan melanggar batu penghadang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan pemandu tercampak keluar dari kenderaan melalui pintu sebelah pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang merupakan isteri dan dua anak kepada mangsa maut sedang menerima rawatan di zon hijau Hospital Temerloh. Isteri mangsa berusia 40 tahun dilaporkan dalam keadaan stabil manakala dua anak masing-masing berusia 10 dan 3 tahun turut mengalami kecederaan ringan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat sebaik keputusan ujian Covid-19 diperoleh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH