Pemandu maut lori terbabas akibat tayar pecah
Pemandu maut lori terbabas akibat tayar pecah
TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut setelah lori muatan cat yang dipandunya terbabas dipercayai akibat tayar pecah di Kilometer 381.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, semalam.
Nahas sekitar jam 8.30 pagi itu mengorbankan mangsa, M. Mohan, 67, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, kemalangan berlaku setelah lori dipandu mangsa hilang kawalan dipercayai akibat tayar pecah menyebabkan kenderaan tersebut terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar lereng bukit.
Akibat kemalangan itu, mangsa terhumban dan terkena cermin pandang hadapan. Mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.39 pagi.
Katanya, anggota segera menjalankan kerja-kerja menyelamat pemandu lori yang tersepit, namun, mangsa disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Kelindan lori berusia 52 tahun bagaimanapun tidak cedera,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Video/Gambar: Media Sosial