PEMANDU MAUT LANGGAR LORI TRELER
KEJADIAN KEMALANGAN MAUT ITU BERLAKU DI KM 4, JALAN BENTONG-GOMBAK.
BENTONG: Seorang maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di jalan lama, Jalan Bentong-Gombak, Kilometer (KM) 4 yang melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan lori treler, kira-kira 1.50 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta itu dipandu oleh seorang lelaki kaum India yang berusia 24 tahun yang datang dari arah bandar Bentong menuju ke Gombak dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke seberang jalan.
“Kereta itu melanggar belakang lori treler yang berada di tepi jalan, kereta itu hampir remuk keseluruhuannya, manakala treler itu mengalami kerosakan kecil.
“Pemandu kereta itu, Anantha Raj a/l Kanapathi yang berasal dari Bentong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya.
Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian itu tampil untuk membantu siasatan.
Katanya, pihaknya menasihati orang ramai yang memandu dan menunggang kenderaan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalulintas, pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik terutama ketika di musim tengkujuh.