PEMANDU MABUK MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR PEKERJA KILANG HINGGA MAUT
PEMANDU MABUK MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR PEKERJA KILANG HINGGA MAUT
KUANTAN: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian seorang pekerja kilang di Jalan Sungai Lembing, Isnin lalu.
Tertuduh, K Mandave Singh, berusia 25 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.
Tertuduh yang beralamat di Bandar Tambun, Ipoh, Perak, didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza berada diatas jalan raya dengan kadar alkohol di dalam darah melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Muhammad Akmal Hakim Misnan berusia 22 tahun, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN KOSMO ONLINE
Mandave Singh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sungai Lembing, berhampiran kedai pemborong runcit Chop Seng Fong, di sini, jam 1.10 pagi pada 1 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 jika didapati bersalah.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan antaranya perlu melaporkan diri di balai polis, pergantungan lesen dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam mewakili Mandave Singh, Farah Naz Kumar memohon ikat jamin dikurangkan susulan anak guamnya tidak bekerja.
Majistret Nor Izzati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin.
Beliau juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, menyerah pasport kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada Isnin, seorang pekerja kilang dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh MPV dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Sungai Lembing.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, Muhammad Akmal Hakim meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan ke Kampung Padang.
Ketika di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa secara tiba-tiba dirempuh MPV Toyota Avanza dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan.