Pemandu lori muatan barangan pos laju tersepit
Pemandu lori muatan barangan pos laju tersepit
LIPIS – Seorang pemandu lori dengan muatan barangan pos laju tersepit kerana terlanggar belakang lori yang membawa muatan barangan perabot yang datang dari arah Lembah Klang ke Kelantan dalam kemalangan jalan raya di KM7, Jalan Lipis-Benta, pada jam 1.35 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian lori yang membawa muatan pos laju cuba memotong lori di hadapannya tetapi masuk ke lorongnya semula kerana terdapat sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Tindakan pantas pemandu lori dengan muatan pos laju itu menyebabkan terlanggar bahagian belakang lori membawa muatan perabot di hadapannya.
“Pemandu lori belakang telah tersepit di tempat duduknya, pemandu tersepit itu selamat dikeluarkan oleh pihak bomba dan di hantar ke Hospital Lipis untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, pemandu tersebut dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kiri. Kenderaan terlibat telah dialihkan dari lokasi kemalangan.
Azli menasihati pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menantu terutama di waktu malam.-SAHIH.