PEMANDU LORI GULA MAUT DALAM KEMALANGAN DI KM 43.5, LEBUHRAYA KLK
PEMANDU LORI GULA MAUT DALAM KEMALANGAN DI KM 43.5, LEBUHRAYA KLK
BENTONG : Seorang pemandu lori muatan gula berusia 27 tahun maut apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 43.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur ke Karak (KLK) berdekatan Bentong pada jam 4.00 pagi hari ini..
Mangsa, Mohamad Rahiziikmal Mohamad Her yang memandu lori tersebut dipercayai hilang kawalan apabila tiba di tempat kejadian.
Ketua Polis Bentong, Suprintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, lori muatan gula itu datang dari sebuah kilang di Shah Alam, Selangor dan dalam perjalanan ke Kuantan, tiba-tiba hilang kawalan apabila sampai di selekoh KM43.5 lebuh raya tersebut.
“Hasil siasatan mendapati lori berkenaan terbabas ke kiri jalan lalu terlanggar tebing bukit dan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu
siasatan, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham berkata, sehingga ini statistik kemalangan jalan raya di KM 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak berdekatan sini menunjukkan sebanyak 14 kes dan melibatkan empat orang pengguna maut.
“Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu dan berhemah di samping kenderaan yang dipandu perlu diselenggara dengan baik dan selamat.
“Selain itu, pengguna lebuh raya yang menggunakan lebuh raya itu tiba di lokasi berselekoh itu, diharap memperlahankan kenderaan masing-masing, terutama pengguna lebuh raya itu buat kali pertama, “katanya.-SAHIH.