Pemandu lori balak bimbang hilang pekerjaan akibat had berat baharu
Pemandu lori balak bimbang hilang pekerjaan akibat had berat baharu
JERANTUT: Kira-kira 150 pemandu lori balak di negeri ini bimbang bakal kehilangan mata pencarian susulan pelaksanaan had berat muatan lori balak yang baharu, yang didakwa menyebabkan pendapatan mereka serta syarikat pengangkutan kayu berkurangan sehingga 50 peratus.
Difahamkan, pelaksanaan had berat baharu yang menggunakan kiraan dalam kilogram (tan) berbeza dengan sistem terdahulu yang berdasarkan tan metrik padu. Perubahan itu menyebabkan jumlah kayu yang boleh dibawa dalam satu perjalanan berkurangan, walaupun lori masih berupaya menampung beban sebenar.
Ketua Penganjur Perhimpunan Aman Pemandu Lori Balak, Mohd Suhaimi Sukri, 41, dari Temerloh, berkata mereka merayu agar Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perhutanan mengkaji semula pelaksanaan had berat berkenaan yang disifatkan tidak adil kepada pemandu dan pengusaha pengangkutan.
“Jenis kayu berbeza dari segi berat dan ketumpatan. Apabila semuanya dikira berdasarkan kilogram tanpa mengambil kira perbezaan jenis kayu, kami hanya boleh membawa muatan sedikit walaupun lori masih mampu menampung lebih.
“Akibatnya, pendapatan kami berkurangan manakala syarikat pula menanggung kerugian besar kerana kos minyak, tol dan penyelenggaraan kenderaan tidak berubah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori juga berdepan kekeliruan berikutan ketidaksamaan had Berat Dengan Muatan (BDM) antara jenis lori.
Seorang pemandu, Sritheran Rajendran, 42, dari Jerantut, berkata ada lori hanya dibenarkan membawa 30,000 kilogram, manakala ada yang 48,000, 52,000 dan hanya segelintir memperoleh permit 60,000 kilogram.

Seorang pemandu, Sritheran Rajendran menunjukkan BDM pada lori.
“Kami berharap had berat ini diseragamkan agar semua pemandu dilayan secara adil. Jika tidak, ramai mungkin kehilangan pekerjaan kerana syarikat terpaksa menghentikan operasi.
“Kami juga bimbang lesen GDL dibatalkan akibat kesalahan berulang. Pendapatan kami tidak menentu kerana hanya bekerja lima hari seminggu dan bergantung kepada cuaca serta jadual operasi Pejabat Hutan,” katanya.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, berkata isu berkenaan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Saya menerima beberapa usul daripada kira-kira 150 pemandu lori seluruh Pahang. Isu ini perlu diselesaikan melalui komunikasi baik antara persatuan dan pihak kementerian. Memorandum lengkap akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan rundingan perlu diamalkan agar penyelesaian yang dicapai tidak menekan mana-mana pihak serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat dalam industri pengangkutan kayu balak. – SAHIH.
