PEMANDU, KELINDAN LORI TRELER BONGKAH BATU MAUT
PEMANDU, KELINDAN LORI TRELER BONGKAH BATU MAUT
BENTONG: Pemandu dan kelindan lori treler maut di tempat kejadian dalam kemalangan jalan raya di Kilomerter (KM) 43.4, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak (KLK), pada jam 9.10 malam, malam tadi.
Lori treler jenis Volvo yang membawa muatan bongkah batu dikatakan sedang bergerak di sebelah kiri jalan menghala ke Karak, tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas terus melanggar penghadang besi sebelah kiri jalan.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pemandu dan kelindan lori warga tempatan itu masing-masing berusia 44 dan 63 tahun maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk disiasat.
“Keadaan jalan basah dan licin ekoran hujan berlaku dan kenderaan itu mengalami kerosakan keseluruhan bahagian badan dan ekor.
“Pihak polis memohon bantuan orang awam yang melihat kejadian itu untuk membantu siasatan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berharap semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.