Pemandu Bezza Maut Tersepit, Lori Rempuh di LPT Kuantan–Segamat
Pemandu Bezza Maut Tersepit, Lori Rempuh di LPT Kuantan–Segamat
Muadzam Shah-“Saya terdengar dentuman kuat sebelum nampak asap berkepul dari arah jalan,” kata saksi kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah lori dan kereta Perodua Bezza di Kilometer 125, Lebuhraya Kuantan – Segamat, di sini, petang semalam.
Dalam insiden jam 2.14 petang itu, pemandu kereta Perodua Bezza disahkan maut di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.24 petang, kira-kira 10 kilometer dari balai. Komander Operasi, PBK II KUP Mohd Fadli Musa bersama anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat polis dan punca kejadian masih dalam siasatan.-SAHIH