Pemain industri seni perlu contohi P. Ramlee
Pemain industri seni perlu contohi P. Ramlee
KUANTAN – Pemain industri perfileman termasuk pengarah, pelakon dan penggiat seni perlu mencontohi seniman agung, Tan Seri P. Ramlee dalam penghasilan karya yang membentuk minda seperti nilai agama, adab dan budaya, intelektual serta perpaduan masyarakat di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, walaupun sudah 49 tahun meninggalkan kita, karyanya sama ada yang beliau tulis, lakonan serta pengarahannya sentiada dekat di hati kita sehingga kini.
“Karyanya sarat dengan mesej dan nasihat serta diselitkan pula unsur jenaka dan kecindan, tetapi jelas menjurus kepada perpaduan kaum, kasih sayang, kehidupan, hormat-menghormati serta nilai intelektual dan futuristik.
“Nilai futuristik nampak jelas menerusi karya seperti filem Pendekar Bujang Lapok, Anakku Sazali, Ali Baba Bujang Lapok, Musang Berjanggut dan sebagainya menjadi realiti serta wujud dalam era ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita,” katanya sempena perasmian sambutan Hari Seniman 2022 Negeri Pahang di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (RTM), di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin menambah legasi seniman P. Ramlee boleh dijadikan teladan dan mendidik peranan sebenar para seniman dan penggiat seni di negera ini yang mampu mengubah pemikiran dan membentuk sahsiah masyarakat dalam dunia yang serba mencabar hari ini.
“Seniman juga mempunyai tanggungjawab yang cukup besar kerana karya yang dihasilkan bukan hanya untuk hiburan, tetapi haruslah sarat dengan mesej dan nilai adab ketimuran yang kita pegang selama ini.
“Sepatutnya kita dapat mempelajari sesuatu dan jadikan pedoman menerusi penghasilan karya seperti filem dan elakkan daripada lahir karya yang bertentangan nilai agama Islam, budaya, perpaduan dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Pahang, Sabarudin Yeop Hamza, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Pahang, Ariffin Awang, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Pahang, Faisal Md Nor, Ketua Finas Zon Timur, Mahmud Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Karyawan Seni Pahang, Jamaluddin Hitam.
Beliau memohon pengarah dan pelakon tidak hanya mengejar populariti atau ‘profit making’ sahaja tetapi mempunyai amanah dan tanggungjawab lebih besar, iaitu hasil kretiviti seni berlandaskan dakwah untuk agama dan keperibadian bangsa kerana di akhirat nanti Allah SWT akan menyoal kita mengenai sumbangan dan peranan menegakkan syiar Islam menerusi genre tersebut.
“Pengarah, penulis dan seniman mampu berdakwah dan mengangkat martabat bangsa dan negara menerusi filem/lakonan, nyanyian, teater, sajak, tarian, seni lukisan, arca, novel, fotografi, video dan genre lain khususnya ketika kita berdepan cabaran dunia moden.
“Oleh itu, sambutan Hari Seniman ini yang diraikan hari ini untuk memperingati tarikh kelahiran seniman agung kita, Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac (1929) setiap tahun dan pemergiannya sudah 49 tahun lalu meninggalkan kita tetapi jasanya menerusi filem dan lakonan tetap dikenang sepanjang zaman,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa peka dan cakna dengan kebajikan para seniman dan penggiat seni di negeri ini malah menyokong serta menghargai setiap hasil karya seperti buku, filem, teater dan persembahan lagu rakyat.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri menghargai penggiat lagu rakyat Pahang, Roslan Madun yang memperjuangkan genre tersebut sejak 1981 dan mulai diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima anugerah Diploma Laureate of II Degree ketika beliau menyertai The International Contest Of Folk Song Artists, Voices of Ancient Cities di Ryazan, Russia pada tahun lalu,” katanya.-SAHIH.