PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN KUALA TAHAN LEGA, PENGUNJUNG MULA RAMAI
PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN KUALA TAHAN LEGA, PENGUNJUNG MULA RAMAI
KUALA TAHAN, JERANTUT: Pengusaha dan pemain industri pelancongan di Kuala Tahan, Jerantut menarik nafas lega dengan kehadiran pengunjung yang mula membanjiri Taman Negara hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu khususnya di hujung minggu sejak rentas sempadan dibuka baru-baru ini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir 12 bulan itu sebelum ini seolah-olah mematikan aktiviti pelancongan yang turut menjejaskan pendapatan penduduk yang bergantung sepenuhnya untuk menjana pendapatan masing-masing.
Antara yang terjejas, pemandu bot pelancong, pemandu pelancong, pengusaha chalet dan rumah inap, perhotelan di kawasan itu, serta pengusaha restoran dan kedai makan termasuk perkhidmatan bas pelancongan dari bandar Jerantut ke situ.
Pemandu bot pelancong dan bot penambang Kuala Tahan, Izhar Ismayatim berkata, sejak sempadan negeri dan daerah dibuka beberapa minggu lalu, tanda-tanda positif kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Pahang mula memberi kesan kepada pemain industri ekopelancong untuk mendapatkan pendapatan yang terhenti semasa PKP.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelancong dalam dan luar Pahang yang memilih untuk berehat di sini untuk menikmati suasana alam sekitar sekali gus menggerakkan aktiviti pelancongan tempatan.
“Sejak PKP yang hampir 2 tahun, kebanyakan daripada kami hilang pendapatan yang sudah sebati sekian lama, ini memaksa kami melakukan kerja lain seperti pertanian kecil-kecilan di belakang rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, setiap hujung minggu sejak pintu sempadan dibuka, kehadiran pengunjung semakin ramai dan memberi pendapatan kepada kami sebelum musim tengkujuh hujung tahun ini.
“Saya bagi pihak rakan-rakan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana sudah melonggarkan pergerakan, diharap pengunjung dan orang tempatan pastikan tidak lupa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih perlu dipatuhi,” katanya.
Seorang pengunjung dari Puchong, Selangor, Unice Tang, berkata, dia bersama rakannya memilih ke Kuala Tahan buat kali kedua untuk bercuti secara peribadi.
“Kali pertama saya datang dengan syarikat tempat berkerja, kali ini saya berhasrat menikmati sendiri dan akan mendaki Bukit Terisik selain akan berperahu ke kawasan jeram.
“Seronok ke sini kerana jauh daripada kesibukan dan menenangkan dengan kehijauan di sekeliling dengan keramahan penduduk di sini,”katanya.
Seorang pengunjung dari Kuala Pilah, Siti Haniza Abdul Rauf berkata, dia berkunjung buat kali pertama, dilihat dari persekitaran agak mendamaikan dengan chalet atau rumah inap dengan harga berpatutan.
“Sebelum ke sini, saya mengetahui hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun wajar dipelihara dan jangan diganggu demi generasi akan datang,” katanya.-SAHIH.