PEMADAM DAN NGO ANJUR PROGRAM DERMA DARAH
PEMADAM DAN NGO ANJUR PROGRAM DERMA DARAH
JERANTUT: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Jerantut dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Malaysia, Kelab Lion Jerantut bersama Unit Tabung Darah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengadakan program derma darah baru-baru ini.
Seramai 76 menderma darah di program itu yang diadakan di Pasaraya Econsave Jerantut yang mendapat sambutan di luar jangka.
Setiausaha PEMADAM Jerantut, Wan Rohani Wan Mohd Hashim berkata, ramai yang hadir untuk menderma tetapi tidak berjaya melepasi saringan awal pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ramai yang hadir untuk menderma, tetapi yang berjaya menderma hanya 76 orang sahaja. Ada yang ingin menderma tetapi usia melebihi 60 tahun.
“Ada yang datang untuk menderma tetapi tidak berjaya kerana tidak melepasi pelbagai ujian saringan,” katanya.
Seorang penderma, Muhammad Azli Muhammad Ariff (22) berkata, dia menderma buat kali pertama kerana ingin mengetahui apa kesan selepas menderma darah.
“Ada diperkata lepas derma akan pengsan, lemah-lamah badan, oleh itu saya ingin mengetahuinya daripada mendengar cakap orang.
“Tetapi ada juga berkata badan akan rasa segar selepas menderma, oleh itu saya cuba menderma buat kali pertama,” katanya.
Penderma berusia 53 tahun yang enggan nama disiarkan berkata, dia sudah 9 kali menderma, setiap kali menderma darah dia rasa segar.
“Selain itu saya rasa bertanggung jawab kepada masyarakat yang memerlukan bantuan darah, ini sahaja sumbangan yang saya mampu lakukan untuk negara dan masyarakat,” katanya. –SAHIH.