PELUANG SHAHREL RANGKUL KASUT EMAS
Berita Sukan
PELUANG SHAHREL RANGKUL KASUT EMAS
KUALA LUMPUR: Selepas Anugerah Kasut Emas didominasi penyerang import, adakah saingan Liga Super musim ini bakal menyaksikan giliran penyerang tempatan pula yang menggondol anugerah berprestij itu?
Berbaki satu perlawanan lagi, bukan setakat perebutan tiket ke Piala AFC musim depan yang hangat diperkatakan, malah persaingan bagi merebut gelaran penggempur paling berbisa turut boleh dianggap panas.
Ketika ini, tiga pemain daripada tiga pasukan berbeza berpeluang untuk merangkul anugerah itu selepas masing masing menunjukkan ketajaman di hadapan gawang gol dan meledak gol demi gol.
Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah selepas penyerang The Bos Gaurus, Shahrel Fikri Md Fauzi berjaya mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super setakat ini apabila meledak 10 gol dalam 10 perlawanan.
Aksi terbaik diperagakan penyerang Kebangsaan itu sudah pasti ketika dia menyumbat empat gol untuk membantu Perak membaham FELDA United 5-1 pada aksi di Stadium Perak, 25 September lalu.
Bagaimanapun, pemain itu sebelum ini menegaskan anugerah terbabit dianggap sebagai bonus kerana fokus utamanya adalah untuk membantu Perak beraksi di saingan Asia musim depan.
Kali terakhir Anugerah Kasut Emas dimenangi pemain tempatan adalah pada 2011 menerusi pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang meraih anugerah itu selepas menjaringkan 20 gol.
Mengikuti rapat pemain berusia 25 tahun itu adalah penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun yang gah meledak sembilan gol sekali gus menyaksikan dia menyumbang hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 20 gol dihasilkan The Red Giants dalam Liga Super.
Seorang lagi pencabar untuk gelaran terbabit, Dominique da Sylva pula ketinggalan dua gol di belakang Shahrel apabila dia menyumbang lapan gol untuk Terengganu FC (TFC) musim ini.
Apa yang pasti, bukan setakat gelaran penjaring terbanyak menjadi pertaruhan malah mereka juga boleh dianggap membawa nasib pasukan masing masing.
Kudrat Shahrel pasti ditagih oleh Mehmet Durakovic apabila menentang Kedah, Ahad ini di mana kemenangan akan memastikan mereka menamatkan musim ini di tangga kedua sekali gus layak beraksi di Piala AFC musim depan.
TFC yang akan bertemu Pahang sementara Selangor yang akan membuat perhitungan dengan FELDA United juga pasti turun dengan misi mata penuh untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
Senarai penjaring:
10 – Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak)
9 – Ifedayo Olusegun (Selangor)
8 – Dominique da Sylva (TFC)
7 – Safawi Rasid (JDT), Tchetche Kipre (Kedah)
6 – gol Gonzalo Cabrera (JDT), Gustavo (UiTM FC), Ivan Carlos (Pahang)