Peluang cerah menang di Pelangai
Peluang cerah menang di Pelangai
BENTONG – Barisan Nasional (BN) berada di landasan tepat untuk mencipta kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober ini.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kesiapsiagaan jentera BN kini di peringkat maksimum untuk memastikan kemenangan dalam PRK itu.
“Alhamdulillah saya nampak setiap kali kita turun ke lokasi-lokasi yang kita ingin jejaki, penerimaan kepada BN sangat tinggi.
“Dan nampak rata-ratanya kita dapat mengenali pengundi dengan lebih dekat.
“Mereka menunjukkan pandangan yang positif terhadap BN pada kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Sukan Rakyat di Kampung Shafie, dekat Bentong, petang semalam.
Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal; Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Mengulas lanjut, Amizar berkata BN turut menerima maklum balas positif dan sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu.
“Ini lagi satu perkara yang sangat baik dan positif, iaitu apabila kita bertemu dengan warga bukan bumiputera, termasuklah Orang Asli, Cina dan India
“Mereka sangat menantikan dan sangat bersetuju untuk mengundi BN,” katanya.- SAHIH