PELAYARAN TANPA DESTINASI CETUS KEBIMBANGAN
Berita Global
PELAYARAN TANPA DESTINASI CETUS KEBIMBANGAN
SINGAPURA: Singapura berharap dapat memulakan pelayaran tanpa destinasi dalam usaha memulihkan industri pelancongan negara itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Namun, perancangan itu dikritik sebagai langkah berisiko yang boleh mengakibatkan penularan wabak berkenaan meningkat.
Operasi sebahagian besar industri pelayaran global terhenti berikutan sekatan perjalanan berkait COVID-19, di samping beberapa kejadian jangkitan di atas kapal yang padat.
Begitupun, Lembaga Pelancongan di Singapura sedang mengadakan perbincangan dengan pengusaha kapal persiaran untuk mengadakan pelayaran pergi-balik ke negara ini.
“Pihak berkuasa akan melaksanakan langkah sewajarnya yang membolehkan kapal persiaran beroperasi semula dalam keadaan selamat,” kata Pengarah Pelayaran lembaga itu, Annie Chang, kepada AFP.
Namun, beliau tidak memaklumkan bila kapal persiaran akan kembali beroperasi.
Bagaimanapun, Pengarah Program Perkapalan dan Lautan di Friends of the Earth, Marcie Keever, memberikan amaran bahawa pengoperasian semula kapal persiaran berpotensi meningkatkan penularan wabak COVID-19.
“Industri pelayaran adalah penyumbang besar penularan COVID-19 di beberapa pelabuhan serata dunia,” katanya.