PELANTAR NAGA 7 TENGGELAM, 101 KRU SELAMAT
PELANTAR NAGA 7 TENGGELAM, 101 KRU SELAMAT
MIRI: Kesemua 101 kru pelantar penggerudian Naga 7 yang karam di perairan Bintulu-Miri dekat sini, semalam disahkan selamat.
Conoco Phillips Sarawak Ltd yang mengesahkannya berkata, kesemua pekerja mereka itu sudah dibawa ke sini untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan Tindakan Kecemasan kami sudah digerakkan ke Naga 7 dan pihak berkuasa lain juga turut dimaklumkan mengenainya.
“Keutamaan dan perhatian utama kami adalah keselamatan pekerja dan semua mereka sudah dipindahkan dari Naga 7 tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Pelantar penggerudian Naga 7 dilaporkan karam ketika sedang melakukan kerja penggerudian (telaga minyak) di Blok Salam 3 di perairan Bintulu-Miri.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya memberi kelulusan serta-merta kepada kesemua 101 kru terbabit dibawa ke Pusat Transit Luar Pesisir (OTC) di sini.
“Ini adalah kes kecemasan di laut dan kita memberi kebenaran segera kepada mereka untuk mendarat di Miri (OTC),” katanya yang dihubungi, lapor Harian Metro.
Kim Shin juga berkata bahawa kesemua mereka itu diarahkan kuarantin selama 14 hari.
Kesemua kru yang bekerja di pelantar penggerudian Naga 7 disahkan selamat.