Pelangai tempat Amizar ‘bermain’ sejak kecil
Pelangai tempat Amizar ‘bermain’ sejak kecil
KUANTAN – Nama Datuk Amizar Abu Adam bukan terlalu asing bagi penduduk di Simpang Pelangai, dekat Bentong.
Bahkan, anak jati FELDA Chemomoi itu juga sangat disenangi penduduk di situ.
Jika Barisan Nasional (BN) Pahang masih belum ada calon untuk pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, maka nama Amizar sajalah yang paling tepat.
Perkara itu sangat disokong oleh penduduk di FELDA Chemomoi, bahkan turut disenangi kebanyakan penduduk di Simpang Pelangai sendiri.
“Kalau bukan Mizar (Amizar) baik kami tak keluar terus (mengundi).
“Sampai bila nak bagi ‘orang luar’ jadi wakil rakyat kami? Kami memang nak tengok dia (Amizar) jadi calon kali ini,” kata seorang pemuda yang ditemui di sebuah kedai kopi di pekan FELDA Chemomoi, baru-baru ini.
Dia yang sudah mengenali Amizar sejak kira-kira 40 tahun lalu mengakui, inilah masa paling tepat untuk memberi laluan kepada ketua penerangan UMNO Bentong itu.
Katanya, Amizar sudah lama melakukan kerja dan selalu ‘turun padang’ di sekitar Pelangai.
“Kami dah kenal Mizar dan yakin dia boleh bawa suara anak muda di sini.
“Saya fikir BN Pahang dan UMNO tidak ada alasan untuk memilih orang lain sebagai calon di Pelangai.
“Kalau bukan Mizar, kami sedia boikot PRK bulan depan,” katanya lagi.
Seorang lagi peneroka generasi pertama FELDA Chemomoi yang hanya mahu dikenali sebagai Pakcik Hamid menegaskan, dia tidak akan mengundi jika UMNO-BN meletakkan orang lain sebagai calon di situ.
“Kalau Amizar, pakcik akan (keluar) mengundi, kalau orang lain, pakcik lebih rela tidur kat rumah.
“Jangan kata keluar mengundi, kalau orang lain jadi calon, pakcik takkan benarkan anak cucu pakcik tolong pasang poster,” katanya.- SAHIH