Pelangai ada potensi jadi destinasi agro pelancongan
Pelangai ada potensi jadi destinasi agro pelancongan
BENTONG – Kawasan Pelangai yang kaya dengan sumber pertanian khususnya durian, mampu menjadi destinasi agro pelancongan popular.
Itu adalah antara perkara yang pernah diimpikan bekas wakil rakyat di situ, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mahu meneruskan hasrat Johari yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Sebagai anak jati FELDA Chemomoi, Amizar berkata kedudukan Pelangai yang terletak di jalan utama ke Negeri Sembilan, Johor dan ibu negara memberi kelebihan kepada kawasan itu untuk dibangunkan.
“Di Pelangai, kita ada durian yang rasanya sangat unik.
“Ada tanah pertanian, ada tanah penternakan yang boleh kita teroka lagi.
“Kita nak jadikan sebagai ‘hotspot’ yang pengunjung boleh duduk di dalam ladang kelapa sawit, boleh makan durian, boleh rasai sendiri bagaimana menjadi seorang peneroka, belajar cara memetik buah sawit, angkat kelapa sawit,” katanya pada program bual bicara ‘Legasi Pelangai’ di laman sosial Facebook.
“Saya pernah duduk berbincang dengan Allahyarham Johari, impian itu sama,” katanya lagi.
Amizar berkata kesannya akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk Pelangai dengan menyediakan perkhidmatan inap desa dan restoran.
“Kalau kita dapat tambah nilai ekonomi penduduk tempatan, dinamik ekonomi akan berpusing, peniaga dapat lebih (pendapatan meningkat), homestay akan rancak,” katanya.- SAHIH