Pelancong wanita sambut Ramadan, menjelang Aidilfitri di Kuala Tahan
Pelancong wanita sambut Ramadan, menjelang Aidilfitri di Kuala Tahan
JERANTUT – Dua pelancong wanita Barat, iaitu Michelle Gerards dari England dan Phoebe Thorogood berasal dari Belanda mengalami suasana menarik ketika penduduk Islam di Malaysia berpuasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Kunjungan kali pertama mereka selama dua hari dua malam di pusat peranginan hutan tropika kehadiran mereka dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri membekalkan banyak cerita menarik untuk disampaikan kepada keluarga dan rakan masing-masing apabila pulang ke negara mereka selepas mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.
Kedua pelancong tersebut merupakan ‘backpackers’ dan cuma bertemu di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur yang kebetulan masing-masing mempunyai hasrat dan tujuan yang sama untuk mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan.
Setibanya di Kuala Tahan, mereka memilih untuk menginap di salah sebuah pusat inap penduduk tempatan, iaitu Delimah Guesthouse milik Abdul Jalil Abd Rahman yang terletak di pesisir Sungai Tembeling setelah meneliti sebuah portal mengenai pelancongan dan penginapan di Taman Negara.
Gerards berkata, dia memilih negara ini untuk berkunjung selepas mula dibuka untuk orang luar khususnya pelancong kerana sangat berminat dengan keunikan hutan tropika Taman Negara yang dipercayai berusia lebih 130 juta tahun masih menyimpan banyak khazanah flora dan fauna.
“Lebih menarik, tempoh kunjungan saya ke sini ketika umat Islam sedang berpuasa dan sangat teruja untuk menghayati kehidupan masyarakat Melayu Kuala Tahan ketika mereka membuat persiapan juadah berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya teruja dengan budi bahasa dan keramahan ahli keluarga pemilik pusat ini kerana melayan kami dengan mesra bagaikan keluarga dan meghidangkan makanan tempatan yang cukup pedas tetapi sangat menyelerakan,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Kata Thorogood pula, kedamaian Kampung Kuala Tahan jauh berbeza dengan tempat tinggal di negaranya sekali gus kunjungan ke situ cukup menenangkan fikirannya walaupun cuma tempoh yang singkat menginap di pusat inap tersebut.
“Selepas makan (berbuka puasa), saya dan Gerards turun bermain bunga api dengan cucu pemilik pusat inap ini dan sungguh seronok dengan keindahan suasana waktu malam di kampung ini sehingga tidak sedar hingga menjelang tengah malam.
“Saya merancang untuk kembali ke sini tahun depan bersama rakan tempat kerja dari Belanda dan menginap lebih lama kerana masih banyak kawasan rekreasi di Taman Negara yang belum dikunjungi,” katanya.-SAHIH.