Pelan Pembangunan Masyarakat India pertama kali dilancarkan
Pelan Pembangunan Masyarakat India pertama kali dilancarkan
Barisan Nasional (BN) Temerloh melancarkan Pelan Pembangunan Masyarakat India Parlimen Temerloh bagi menyelesaikan isu dan masalah melibatkan kaum itu di daerah terbabit dengan lebih tuntas.
Calon BN Parlimen Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pelan itu menjadi wadah penting dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang membelenggu masyarakat India di daerah ini.
“Ini adalah satu pelan yang cukup baik kerana mempunyai cadangan tentang perkara-perkara yang harus diberikan penekanan untuk masyarakat India, setidaknya kalau saya dipilih nanti (sebagai Ahli Parlimen Temerloh) kita tahu apa perlu dilaksanakan segera.
“Pelbagai inisiatif dari segi pendidikan, peluang pekerjaan, keperluan asas dan pinjaman keusahawanan adalah antara pelan tindakan yang dibariskan,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Pembangunan Masyarakat India Temerloh di sini.
Mohd. Sharkar berkata, Pelan Pembangunan Masyarakat India Parlimen Temerloh itu digerakkan bersama Pertubuhan Temerloh Indian Solidarity (Thias) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri K.Vijayendran.
Katanya, ahli jawatankuasa pelan berkenaan diwakili pelbagai pihak termasuk daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin kuil.
“Pelan pembangunan di bawah Thias ini akan beroperasi sebagai satu jawatankuasa khas di bawah Parlimen Temerloh dari segi ekonomi dan sosial sebagai pelan tindakan yang mengambil jangka masa 10 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Vijayendran berkata, pelan pembangunan tersebut akan berjaya sekiranya semua kaum India di daerah ini dapat bersatu dan hidup bermuafakat serta menyokong kepimpinan BN.
Ujarnya, Thias akan menjadi satu badan komunikasi dan informasi antara pejabat Parlimen Temerloh dan masyarakat India dalam menjayakan pelan itu. –SAHIH