Pelan Digital Koperasi diperkenalkan
Pelan Digital Koperasi diperkenalkan
KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi negara terus diperkasakan menerusi Pelan Digital Koperasi Malaysia 2030 sebagai antara tunjang utama pemerkasaan koperasi di era digital, selari dengan dasar-dasar pembangunan ekonomi negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha itu disokong melalui dasar seperti Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
“Pelaksanaan pelan digital ini penting dalam memperkukuh sektor koperasi sebagai sektor ekonomi ketiga negara.
“Ia juga membolehkan koperasi meningkatkan daya saing dan relevan dalam ekosistem ekonomi digital semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat kali ini menyaksikan kehadiran hampir 5,000 perwakilan koperasi dari seluruh negara dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Abdul Fattah dalam pada itu menjelaskan, bagi menyokong pelan ini, Angkasa memperkukuh pelaksanaan program BA100 iaitu inisiatif membangunkan sektor peruncitan secara digital.
“Sehingga Mei 2025, sebanyak 3,591 buah outlet berdaftar di bawah program ini, melebihi sasaran awal iaitu 3,000 outlet.
“Angkasa menyasarkan nilai jualan mencecah RM375 juta menjelang tahun 2030,” ujarnya. – SAHIH