Pelajar UPM turun padang hayati aspirasi Keluarga Malaysia
Foto atas : Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM bertanya khabar warga emas yang menjadi penghuni di PJMM sambil diiringi Azman (kanan) dan Mohiadin (dua dari kiri).
Pelajar UPM turun padang hayati aspirasi Keluarga Malaysia
SERDANG – Sekumpulan pelajar dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan (JSKP), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) turun padang untuk mempraktikkannya dan memahami realiti sosial yang berlaku seperti aspirasi Keluarga Malaysia.
Menerusi program Salam Kasih Aidilfitri 2022 pelajar-pelajar terbabit bersama-sama pensyarah dan kakitangan JSKP berkenaan mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor untuk menyantuni warga emas di situ pada 3 Jun 2022 lalu.
Ketua jabatan pengajian berkenaan, Dr Mohd Roslan Rosnon, berkata menerusi program itu akan mendedahkan pelajar secara realiti sosial di lapangan untuk berinteraksi dengan komuniti yang disantuni khususnya warga emas yang menghadapi pelbagai masalah.
Selain itu, objektif program itu adalah bagi menyantuni golongan yang memerlukan di samping mendidik dan membudayakan nilai, sikap dan amalan saling menghormati, menghargai serta menyayangi sesama insan.
Menurutnya, dengan cara itu ia menjadi antara yang berkesan kepada pelajar bagi memahami serta mengetahui kehidupan masyarakat di sekeliling termasuk mengenai warga emas yang tersisih kerana tiada waris atau dipinggirkan ahli keluarga sendiri.
Tambahnya, apabila menyantuni warga emas terbabit pelajar boleh membuat penyelidikan dengan berbual mesra bersama-sama penghuni yang ditemui bagi mengetahui secara mendalam punca atau kisah menyebabkan mereka mendiami pusat jagaan.
“Dengan cara ini juga mereka boleh memikirkan langkah baharu atau berkesan untuk dilakukan membantu warga emas yang ditemui kerana sebahagian besar mereka menghadapi pelbagai masalah temasuk dari segi kesihatan.
“Justeru apa yang dipelajari secara teori dalam bilik kuliah boleh dipraktikkan secara amali dan kami pensyarah yang hadir bersama sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu serta memberi bimbangan kepada mereka,” katanya ketika di temui pada program itu.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; serta pensyarah jabatan pengajian berkenaan.
Mohd Roslan berkata, program itu juga secara tidak langsung bersesuaian dalam bidang pengajian ditempuhi pelajar yang membabitkan tumpuan kajian pemahaman mendalam mengenai pembangunan komuniti.
Jelasnya, program berkenaan merangkumi aplikasi teori, kaedah penyelidikan dan analisa aspek utama dalam bidang pembangunan komuniti yang menyumbang ke arah meningkatkan kualiti hidup lebih baik.-SAHIH.