Pelajar UNISSA, Brunei tidak dapat menahan sebak lawat PJMM
Foto : Pelajar UNISSA merakam kenangan bersama-sama warga emas di PJMM selepas mengadakan Program UNISSA International Outreach: Peduli Ummah baru-baru ini.
Pelajar UNISSA, Brunei tidak dapat menahan sebak lawat PJMM
Tujuh puluh pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam dalam program UNISSA International Outreach Peduli Ummah tidak dapat menahan sebak melihat ramai warga emas yang tersisih dan keuzuran di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dalam lawatan mereka baru-baru ini.
Rombongan pelajar terbabit tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang menusuk jiwa apabila kali pertama melihat keadaan sedemikian kerana di negara mereka tiada tempat perlindungan seperti PJMM malah menjadi tanggungjawab setiap ahli keluarga untuk menjaga serta mengurus ibu bapa bagi meneruskan kelansungan hidup.
Azman Rasman (kiri) memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada pelajar UNISSA.
“Hati kami terlalu sedih melihat warga emas ini apabila terpaksa berkerusi roda untuk bergerak, dipimpin atau memegang bahu rakan untuk berjalan selain bertongkat yang sepatutnya disantuni anak sebagai menghargai kasih sayang dan tanggungjawab terhadap ibu bapa,” kata mereka yang ditemui ketika mengadakan program berkenaan di PJMM.
Turut serta dalam program berkenaan Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr Norashikin Yusuf dan Ketua Unit Kokurikulum Pusat Penataran Ilmu & Bahasa UNISSA, Dr Ummi Faizah Abdul Rahman.
Hadir sama Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sadali Mohiden.
Pada program itu Dr Ummi Faizah dan Dr Norashikin menyerahkan sumbangan yang diinfak daripada pelbagai pihak di Brunei berupa mesin penyejuk udara, kipas siling, penapis air dan barangan keperluan asas seperti beras, susu, sabun basuh dan sebagainya.
Selain menyantuni penghuni yang terlantar kerana keuzuran, Dr Norashikin dan Dr Ummi Faizah bersama-sama pelajar mereka turut melakukan aktiviti senaman ringan, beramah mesra dan melayani warga emas makan tengah hari yang ditaja.
Berucap pada program itu, Dr Ummi Faizah berkata, sumbangan barangan itu bukan sahaja membawa pahala yang sentiasa mengalir untuk penginfak juga menyedarkan semua pihak ada orang luar sanggup datang untuk ambil peduli membela nasib warga emas itu.
“Kunjungan ke pusat jagaan berkenaan menimbulkan rasa prihatin serta simpati pelajar terhadap warga emas yang ditemui supaya mereka dapat melihat kesusahan komuniti luar Brunei kerana keadaan sedemikian tiada di negara mereka.
“Walaupun dalam waktu singkat diharapkan pelajar terbabit dapat menghiburkan hati warga emas yang disantuni dan merapatkan ukhuwah dengan masyarakat di Kampung Sungai Takali, Hulu Langat, Selangor serta pelajar maahad tahfiz di Nilai, Seremban, yang turut diziarahi sebelum hadir ke PJMM itu,” katanya.
Kata Dr Ummi Faizah berkata, beliau berasa kagum dengan PJMM yang sanggup mengambil alih tugas untuk menjaga serta menguruskan warga emas itu walaupun menghadapi pelbagai kekangan terutama menampung kos operasi disamping individu berhati mulia mewakafkan tanah untuk pusat jagaan itu.
Sementara itu, Pengerusi Al-Qudwah program berkenaan, Abdul Qawiyul Quddus Muhammad, berkata dia dan rakan pelajar lain berasa terharu melihat keadaan warga emas itu dan sayu hati mendengar keluhan mereka menceritakan kisah silam apabila tidak dipedulikan ahli keluarga.
“Ini memberi keinsafan kepada kami untuk menjadi seorang anak yang bertanggungjawab dan sentiasa ambil peduli keadaan ibu bapa walaupun kehidupan komuniti di negara Brunei yang jauh berbeza berbanding di Malaysia.
“Perkara itu bukan untuk bermegah sebaliknya memberi kesedaran serta manfaat bahawa masalah warga emas sedemikian boleh berlaku di mana sahaja apabila nilai kasih sayang yang diabaikan walaupun kita berasa selesa dengan kehidupan sekarang tanpa dibebani sebarang masalah,” katanya.-SAHIH.