Pelajar UniKL Jayakan Projek Amal di Rumah Jagaan Warga Emas PJNH
Foto : Pelajar UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor melakukan kerja membaik pulih landskap dan membuat lukisan mural pada dinding pagar Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH).
Pelajar UniKL Jayakan Projek Amal di Rumah Jagaan Warga Emas PJNH
KAJANG – Seramai 15 pelajar dari Jurusan Facilities Maintenance Engineering, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), telah menganjurkan program amal kebajikan selama tiga hari di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Kampung Sesapan Kelubi, dekat sini, baru-baru ini.
Projek bertemakan “Peningkatan dan Penyelenggaraan Landskap untuk Rumah Jagaan Warga Emas” ini bertujuan memperbaiki persekitaran pusat jagaan, selain menyuntik nilai kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat, berkata penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam program seumpama ini amat dihargai kerana memberi impak positif bukan sahaja kepada penghuni pusat jagaan, malah turut memberi pendedahan berguna kepada para pelajar.
“Sumbangan mereka bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi tenaga, masa dan kasih sayang. Aktiviti seperti mencantikkan landskap, membaiki peralatan elektrik, serta menghiburkan warga emas jauh lebih bermakna,” katanya.
“Bekas pelajar yang pernah menyertai program amal semasa zaman universiti, kini kembali membantu PJNH menerusi program CSR syarikat atau agensi tempat mereka bekerja, katanya.
Majlis penutup projek disempurnakan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar. Turut hadir, pensyarah merangkap penasihat projek, Sulastri Zainal Abidin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; dan wakil Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob.
Pensyarah merangkap penasihat projek, Sulastri Zainal Abidin, berkata, walaupun perjalanan dari Johor ke Selangor memakan masa hampir 360 kilometer, namun segala kepenatan hilang apabila dapat menyumbang kepada komuniti.
“Kami bukan sahaja menyantuni warga emas, malah pelajar turut diberi peluang mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar seperti membaiki soket elektrik, mengecat mural dan menceriakan kawasan sekeliling,” katanya.
Pengarah program, Luqman Harish, berkata, perancangan teliti bersama pihak pengurusan PJNH telah membantu memastikan kelancaran projek.
Setiausaha program, Hubeib Hassan pula menambah bahawa aktiviti ini juga memupuk kemahiran teknikal serta semangat kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan pelajar.
“Kami berharap program ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut serta menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
“Program seumpama ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berjiwa prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya. -SAHIH.