Pelajar pra-U maut dalam kemalangan di Padang Tengku, Lipis
Pelajar pra-U maut dalam kemalangan di Padang Tengku, Lipis
LIPIS – Seorang pelajar pra-universiti, Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, Ahmad Majidi Eswady, 19 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan 4 roda di Kilometer (KM) 23, Jalan Lipis – Merapoh, Kechau, Lipis pada jam 7.51 pagi, hari ini
Mangsa yang beralamat di Rumah LKNP 27100 Padang Tengku, Lipis dipercayai dalam perjalanan ke sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang datang dari arah Lipis-Merapoh hendak ke tempat kerja di kilang kayu, Kechau.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan pacuan 4 roda telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan dipercayai pandangan terhad disebabkan keadaan berkabus.
“Kenderaan itu melanggar bahagian hadapan sebuah motosikal mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah itu,” katanya.
Katanya, akibat daripada perlanggaran tersebut penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kenderaan pacuan 4 roda turut dikejarkan ke Hospital Lipis dan masih lagi menerima rawatan lanjut di wad kecemasan kerana mengalami kecederaan di kepala dan kaki kanan.Manakala post-mortem mayat penunggang itu akan dilakukan selepas mendapati keputusansaringan Covid-19.
“Diharap semua pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan berkabus tebal kerana boleh menghadkan pandangan yang mengakibatkan berlaku kemalangan,” katanya.-SAHIH.