Pelajar maahad tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah Ranau, Sabah kumpul dana tamping kos operasi
Foto : Sebahagian daripada enam lembu dalam proses pembiakan yang akan dijual untuk ibadat korban pada Hari Raya Aidiladha nanti.
Pelajar maahad tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah Ranau, Sabah kumpul dana tamping kos operasi
BERTANI dengan menanam pokok sayur-sayuran, menternak kambing dan lembu menjadi alternatif tenaga pengajar dan pelajar maahad tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah (PBH) di Kundasang Lama, Ranau, Sabah dalam usaha mengumpul dana untuk menampung kos operasi sejak lebih setahun lalu.
Di kawasan lereng bukit yang berhawa dingin mereka menggunakan kira-kira dua hektar tanah untuk menanam pelbagai pokok sayur-sayuran, manakala sudah menternak 12 kambing yang dipasarkan kepada orang ramai untuk tujuan membuat majlis kenduri khususnya aqiqah.
Manakala lembu pula sebanyak enam ekor dalam proses pembiakan yang akan dijual apabila cukup umur bagi tujuan ibadat korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha.
Aidah Jaamat menyampaikan sumbangan orang ramai dan mereka yang prihatin kepada Mustafa Asad sambil disaksikan Azman Rasman dan Muhammad Syafiq Mohiadin
Pada sebelah petang atau hujung minggu pelajar yang tiada kelas akan membantu mencari rumput untuk lembu berkenaan.
Pengerusinya, Mustafa Asad, berkata usaha pertanian itu terpaksa dilakukan selepas negara dilanda wabak Covid-19 menjadi situasi begitu sukar bagi pihak pengurusan mencari dana sehingga tercetus idea untuk mengusahakan kebun sayur-sayuran di samping menternak kambing serta lembu.
Menurutnya, walaupun imbuhan yang diperoleh daripada usaha berkenaan tidak banyak namun kami bersyukur kerana dapat berusaha sendiri dengan menggunakan tulang empat kerat untuk menanam pelbagai pokok sayur-sayuran yang kemudiannya dipasarkan ke tempat pengumpulan sayur-sayuran di Pekan Kundasang.
Tambahnya, bagi kambing selepas diuar-uarkan melalui pelbagai sumber media sosial mereka yang berhajat akan datang sendiri ke kandang untuk membuat pilihan seterusnya pembayar secara tunai memboleh pondok menggunakan itu wang untuk menampung kos operasi selain mendapatkan baka baharu.
Jelas beliau, namun begitu pembabitan khususnya pelajar dalam aktiviti berkebun sayur-sayuran dan mengurus ternakan kambing atau lembu hanya dilakukan pada waktu ketiadaan kelas pengajian agama atau waktu rehat hujung minggu secara bergotong-royong.
“Langkah ini dititikberatkan kerana pengurusan pondok tidak mahu berlakunya salah faham daripada mereka yang kurang tahu keadaan sebenar mengenai perjalanan pengajian agama di sini di samping memastikan pelajar tidak hilang fokus.
“Bagi mereka yang sudah biasa melihat situasi sebegini apabila pelajar isi masa terluang dengan melakukan aktiviti mencari dana menampung kos operasi perkara ini tidak menjadi masalah, malah sentiasa memberi galakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menyambut kunjungan 50 kakitangan dan sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor bersama-sama ahli keluarga pada program hari keluarga yang bertemakan ‘Muafakat Membawa Berkat’ pada Novermber lalu.
Rombongan itu diketuai Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat yang juga bertindak sebagai pengarah program dan disertai kakitangan pengurusan PJNH bersama ahli keluarga masing-masing.
Turut serta dalam program berkenaan Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman dan setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin.
Mustafa berkata, usaha berkebun sayur dan menternak kambing serta lembu juga salah satu langkah pondok untuk mencari sumber dana sendiri tanpa terlalu mengharap sumbangan atau infak daripada orang ramai, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
Beliau berkata, majoriti 15 pelajar PBH adalah dalam kalangan anak keluarga miskin, asnaf dan anak yatim yang tinggal jauh di pedalaman seperti Kudat, Keningau, Pitas, Ranau, Tenom dan sebagainya apabila menunjukkan minat untuk mendalami pengajian agama sebelum pulang bagi membimbing masyarakat di kampung masing-masing.
Tambahnya, walaupun PBH masih lagi dalam proses menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang lebih sempurna namun tidak mematahkan semangat pelajar untuk fokus mengikuti pengajian tahfiz, kitab fekah, fardu ain dan sebagainya yang dibimbing oleh empat ustaz.
Jelasnya, sehubungan itu juga PBH sudah melancarkan program terkini iaitu Penajaan Pelajar Pengajian al-Quran dan Alim selama tiga tahun sebagai membuka peluang kepada orang ramai dan korporat membabitkan dalam usaha melahirkan guru agama yang berpengetahuan tinggi.
“Saya berasa amat terharu atas kunjungan rombongan PJNH ini kerana ia bukanlah suatu perjalanan yang mudah serta disantuni dengan sumbangan wang kutipan derma orang ramai, manakala pelajar serta ustaz turut menerima cenderamata,” kata Mustafa lagi.-SAHIH.