Pelajar Kolej Vokasional maut nahas motosikal
Pelajar Kolej Vokasional maut nahas motosikal
BERA – Perjalanan pulang dua pelajar Kolej Vokasional Chenor bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Bera–Mayam, petang tadi.
Mangsa, Safuan a/l Sabri, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki, manakala rakannya Muhammad Luqman Fazel, 16, cedera parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika kedua-dua pelajar Orang Asli itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di kawasan Kertau, Chenor.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki mangsa datang dari arah Bera menuju ke Mayam, namun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga yang datang dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu kereta, Husnul Fikri Murshidul Akhyar, 33, bersama isterinya dan dua anak kecil turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Menurutnya, keadaan jalan ketika itu adalah lurus, sedikit berbukit, cuaca baik dan permukaan jalan kering.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.
Mayat Safuan dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk dibedah siasat .
Polis turut meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.-SAHIH