PELAJAR KOLEJ LEMAS DI AIR TERJUN JERAM LINANG
PELAJAR KOLEJ LEMAS DI AIR TERJUN JERAM LINANG
MACHANG: Keseronokan sekumpulan remaja berkelah di air terjun Jeram Linang, Banggol Judah, di sini, hari ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.
Mangsa Muhammad Aiman Ikwan Azmi, 19, yang juga pelajar sebuah kolej di Kota Bharu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas jasadnya berjaya dibawa naik ke darat.
Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, mangsa bersama lapan rakannya sebelum itu mandi di air terjun Jeram Linang pada 1 tengah hari tadi.
Katanya, pada 2.45 petang, mangsa didapati tenggelam dan tidak timbul semula ke permukaan air menyebabkan rakan-rakannya cuba membantu, namun tidak berjaya kerana arus deras.
“Dalam tempoh 15 minit ketika usaha menyelamat, mangsa secara tiba-tiba timbul di permukaan air dan dibawa naik ke darat.
“Seorang daripada rakan mangsa menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, tindakan untuk menyelamatkan mangsa dibuat, namun gagal dan remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut.