Pelajar keluarga susah terima komputer riba sumbangan YRS
Pelajar keluarga susah terima komputer riba sumbangan YRS
Foto atas : Wakil Third Force Jerantut, Mariana Abdul Rahim menyampaikan alatan di kediaman pelajar tersebut.
JERANTUT – Third Force Jerantut di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) menyampaikan sumbangan kemasyarakatan sebuah komputer riba kepada pelajar Pra-Universiti, Semester Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Temin dekat sini, semalam.
Pelajar tersebut, Muhammad Isqandar Isma Putra Muhamad Isa, anak sulung daripada 4 beradik daripada keluarga asnaf menerima gajet tersebut setelah membuat permohonan kepada YRS.
“Saya amat bersyukur kerana mendapat sumbangan komputer riba dan mesin pencetak yang saya terima memudahkan saya melakukan tugasan pelajaran yang diberi.
“Selama ini, saya terpaksa meminjam dan mencetak di kedai komputer di bandar, dengan adanya peralatan ini memberi semangat kepada saya serta boleh berkongsi dengan adik-beradik nanti,” katanya.
Wakil Third Force Jerantut, Mariana Abdul Rahim berkata, pelajar ini memohon melalui YRS dan layak menerima kerana dalam golongan B40 dan di samping itu adik keduanya belajar di sekolah sama di tingkatan 2, adik ketiga tahun 3 bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi dan adik ke-4 berusia 4 tahun.
“Ibunya seorang surirumah dan mempunyai masalah kesihatan dan manakala bapanya bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Perjuangan pengasas YRS hanya satu, iaitu untuk mengajak semua orang untuk menjadi orang baik-baik yang menaungi kerja-kerja kemanusiaan,” katanya.
Katanya, The 3rd Force menjadikan pengasasnya, Raja Shamri sebagai ikon Orang kurang Upaya (OKU) yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan bukan sahaja bersifat domestik malah menyeluruh ke seluruh negara.-SAHIH.