PELAJAR IPT KORBAN CUTI SEMESTER TABUR BAKTI DI PPV
PELAJAR IPT KORBAN CUTI SEMESTER TABUR BAKTI DI PPV
JERANTUT: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup mengorbankan cuti semester masing-masing dengan berkhidmat sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) demi membantu barisan hadapan yang sudah bertungkus lumus memberi perkhidmatan kepada masyarakat berdepan pandemik.
Terdapat di kalangan mereka mahu mendekati masyarakat untuk melatih diri berhadapan dengan realiti kehidupan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan yang sebenar selain untuk mereka menabur bakti sebagai sukarelawan.
Selain itu, kesedaran diri mereka yang sudah melihat betapa hebatnya ‘Frontliner’ bahagian perubatan dan kesihatan, sektor keselamatan termasuk polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Sukarelawan Rakyat (RELA) telah memberi sumbangan yang menyakinkan.
Terdapat juga berpandangan menjadi sukarelawan di PPV semasa musim pandemik Covid-19 mendatangkan kebimbangan buat ahli keluarga dan juga rakan rapat yang lain, namun semua itu hanya sebagai persepsi umum sahaja.
Pelajar Universiti Malaysia Sarawak, Semester 4, Program Pengurusan Sumber Haiwan, Nur Amira Husna Che Anuar (21) berkata, menjadi sukarelawan di PPV ini memberi pengalaman yang baik di samping berpeluang untuk memberi bakti kepada masyarakat.
“Saya mendapat galakan daripada ibubapa serta kesedaran diri setelah melihat betapa gigihnya Barisan Hadapan menghadapi ancaman pandemik ini sejak awal tahun lalu dan pada tahun kedua ini wabak ini masih belum reda dan saya tidak menganggap tugas sebagai sukarelawan sebagai kerja yang membebankan.
“Oleh itu, saya mengambil peluang untuk turut serta berbakti kepada negara melalui lantikan sebagai sukarelawan di PPV ini semasa cuti semester,” katanya ketika ditemui di PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Piol, dekat sini, semalam.
Seorang lagi pelajar Sains Sumber Asli, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) , Norsabariah Najib (21), berkata, selain mengisi masa lapang ketika bercuti ini, dia dapat melihat gelagat orang ramai ketika menghadiri ke PPV untuk mendapat suntikan.
“Sebelum ini saya pernah menjadi sukarelawan PPV Outreach di Felda Sungai Retang, ada yang berpandangan agak sinis untuk mendapatkan suntikan, sambil kami mengisi borang untuk mereka, sambil itu kami memberi ‘pandangan positif’ dan memaklumkan tiada apa yang dirisaukan.
“Ada yang bimbang menjadi sukarelawan, saya tidak bimbang kerana yakin untuk menjalankan tugas selepas lengkap menerima dua dos suntikan vaksin selain sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas di PPV,” katanya.
Sukarelawan, Mohd Nabil Shaari (19), pelajar kejuruteraan mekanikal automatif, Politeknik Engku Omar, berkata, kesedaran menjadi sukarewalan untuk memberi sedikit bantuan kepada ‘frontliner’ yang sudah hampir dua tahun bertungkus lumus berdepan dan berperang dengan pandemik ini.
“Ada juga segelintir orang ramai yang setelah mendapat suntikan vaksin perlu mendapat pemerhatian doktor di lapangan kerana mungkin agak ketakutan atau panik dan perlu ditenangkan, walau begitu semuanya berjalan lancar.
“Saya memohon untuk menjadi sukarelawan terutama di PPV Outreach untuk melatih diri berkhidmat untuk masyarakat terutama di kampung halaman sendiri, malah tidak dinafikan rasa bimbang tetap ada tetapi percaya setiap kebaikan yang dibuat akan mendapat pulangan yang baik termasuklah rezeki dan kesihatan,” katanya.-SAHIH.