Pelajar asrama dakwa dibelasah senior
Pelajar asrama dakwa dibelasah senior
BENTONG – Polis Bentong sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar dipukul pelajar ‘senior’ ketika berada di asrama sekolah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa hari ini.
“Pelajar berusia 16 tahun itu mengadu sakit pada bahagian perut dan kencing berdarah pada jam 10 pagi Jumaat (semalam) ketika berada di rumah dan bapanya membawa dia ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pihak hospital mengesyaki mangsa dipukul dan selepas bapanya bertanya lebih lanjut barulah dia menceritakan kejadian dipukul pelajar ‘senior’ kira-kira jam 2 pagi (Jumaat) ketika berada di asrama sekolah itu.
“Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Bentong,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, sebentar tadi.
Zaiham berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 16 tahun dan pelajar ‘senior’ yang dikatakan membelasah mangsa berusia 17 tahun.
Katanya, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah menghubungi pihak sekolah berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau keduanya sekali,” katanya.-SAHIH.