PEKERJA LADANG DIPENJARA 24 BULAN DERA ANAK TIRI
Berita Mahkamah
PEKERJA LADANG DIPENJARA 24 BULAN DERA ANAK TIRI
KUANTAN: Seorang ibu terpaksa dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun kerana bertindak menganiaya dan mencederakan anak tirinya menggunakan pisau berukuran lapan sentimeter yang dipanaskan, pada 20 September lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairunnisa Abdullah, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan itu.
Siti Aminah turut mengarahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tangkap iaitu pada 22 September lalu.
“Tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik dengan pengawasan selama tiga tahun serta perlu melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam, selain melaporkan diri di Balai Polis Cenderawasih, Rompin setiap bulan.
“Hukuman tambahan ini dikenakan terhadapnya selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara selama 24 bulan,” katanya dalam prosiding yang berlangsung hari ini.
Pekerja ladang itu mengaku menganiaya anak tirinya berusia sembilan tahun dengan cara meletakkan pisau yang dipanaskan pada bahagian atas lengan kanan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Perumahan Ladang Suburban Chenderawasih, Muadzam Shah, dekat Rompin, pada jam 3 petang, 20 September lalu.
Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak sampai RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, Peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi yang mewakili tertuduh meminta hukuman pemenjaraan diminimumkan dengan mengenakan syarat tambahan terhadap anak guamnya.
Dalam hujahan pembelaannya, kesalahan terbabit pertama kali dilakukan anak guamnya dan perlu diberi peluang untuk berubah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat berkata, tertuduh sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut, bukan dengan cara menganiaya dan mencederakannya.
“Ini adalah kesalahan serius di mana tertuduh sanggup mengambil dan memanaskan pisau terlebih dahulu sebelum menekap di lengan kanan mangsa.
“Jadi, kepentingan awam perlu diambilkira oleh mahkamah melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Pohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.
Pada 22 September lalu, akhbar tempatan melaporkan seorang kanak-kanak
melecur pada lengan serta lebam di dada dan paha dipercayai didera ibu tirinya di rumahnya dekat Muadzam Shah, Rompin.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa berusia sembilan tahun memaklumkan kepada guru sekolah pada jam 7.30 pagi, sehari selepas kejadian itu.