Pekerja ladang didenda RM8,000 miliki 112 unit bahan letupan
Pekerja ladang didenda RM8,000 miliki 112 unit bahan letupan
TEMERLOH : Seorang pekerja ladang kelapa sawit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh hari ini selepas mengaku bersalah memiliki bahan letupan tanpa kebenaran sah.
Majistret Nurul Fakhizaa Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Siong Ling, 54, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 112 unit bahan letupan di sebuah premis di No. 15, Lot 1057, tingkat bawah, Jalan Highway Triang, di daerah Bera, kira-kira jam 5 petang, 22 Januari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Siri Sarah Aqirah binti Loqman memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam, keselamatan orang ramai serta jumlah rampasan yang besar.
Menurutnya, pemilikan bahan letupan tanpa kebenaran sah boleh mendatangkan risiko tinggi dan hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela Lim Sze Min memohon hukuman minimum dengan mengambil kira tertuduh berpendapatan kira-kira RM1,800 sebulan, menanggung lima anak serta mempunyai tanggungan keluarga yang besar.
Beliau turut memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam, keselamatan berkaitan bahan letupan serta jumlah barang kes yang banyak dan bukan untuk kegunaan sendiri.
Mahkamah turut mempertimbangkan faktor pemberatan serta rayuan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Bera,
Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pemeriksaan menemui seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun serta 112 jenis mercun dipercayai diimport dari China.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang lesen sah bagi pemilikan atau penjualan mercun berkenaan.
“Nilai rampasan dianggarkan antara RM300,000 hingga RM400,000 dan semua mercun dirampas untuk siasatan lanjut.-SAHIH
