MAUT DILANGGAR PEMANDU MABUK
KUALA LUMPUR: Seorang operator kilang maut selepas motosikalnya dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 37 tahun itu, dilanggar dari arah belakang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
ASISTEN Komisioner Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, pemandu kereta jenis Mercedes Benz berkenaan dalam perjalanan dari Kajang menghala ke Plaza Tol LEKAS.
“Pemandu berusia 41 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaan selepas dipercayai memandu dalam keadaan laju dan berada di bawah pengaruh alkohol.
“Ia mengakibatkan kereta itu merempuh sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki mangsa dari belakang yang berada di laluan motosikal. Pemandu berkenaan tidak cedera akibat kemalangan itu.
GAMBAR HIASAN
“Saksi kejadian memaklumkan kereta itu dipandu dalam keadaan zig zag selepas melepasi Plaza Tol LEKAS sebelum merempuh motosikal mangsa,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Mohd Zaid berkata, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu itu mendapati terdapat kandungan arak melebihi paras dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing lelaki berkenaan didapati negatif dadah.
“Hasil soal siasat dilakukan terhadap pemandu terbabit membawa kepada pengakuan ada minum alkohol sebelum kejadian itu berlaku.
“Dua kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.