PEKERJA JUMPA ULAR SAWA SAIZ ANACONDA
PEKERJA JUMPA ULAR SAWA SAIZ ANACONDA
LARUT: tular berdurasi satu minit 14 saat menunjukkan seekor ular sawa batik bersaiz ‘anaconda’ diangkat menggunakan jengkaut berlaku di Jalan Kubu Gajah dekat Selama di sini semalam.
Reptilia dengan anggaran berat lebih 100 kilogram itu dijumpai seorang lelaki ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut menggunakan jengkaut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd. Nor Khairi Johari berkata, sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.11 tengah hari.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat seekor ular sawa sepanjang hampir lima meter.
“Kawasan ini merupakan tanah milik persendirian dan sedang dibersihkan oleh kontraktor untuk pembinaan jalan.
“Ketika kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan, seorang daripada pekerja telah menjumpai seekor ular sawa di kawasan semak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan dengan anggota menggunakan alat penjerut sebelum ular itu diangkat menggunakan jengkaut ekoran saiznya yang agak besar.
Katanya, kerja-kerja menangkap reptilia itu tidak berhadapan kesukaran kerana ular itu tidak bertindak agresif, lapor Utusan Online.
“Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit dan reptilia itu dibawa balik ke balai untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.