Pekebun durian berjaya dapat perintah sementara
Seramai 111 peneroka tanah kosong kerajaan negeri dengan tanaman durian sebelum ini boleh meneruskan usaha pengeluaran durian setelah mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis mengosongkan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.
Pekebun durian itu, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara itu setelah dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz, selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan tersebut.
Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun tersebut, berkata pergantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan yang dijadualkan akan diadakan pada 28 Oktober depan.
“Oleh itu pekebun durian itu boleh menjalankan kerja harian seperti biasa di atas tanah yang diterokai, selepas mendapat perintah dan notis mengosongkan tanah yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), pekebun tidak berani masuk ke kebun itu.
“Ada di antara mereka mula mengusahakan tanah itu dengan tanaman durian sejak 1961, mereka hanya mahu keputusan yang adil serta dalam situasi menang-menang serta sedia berbincang dengan baik,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas prosiding permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan kebun dan pajakan tanah durian di Kompleks Mahkamah Kuantan, hari ini.
Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan di kawasan dusun durian di Raub yang membabitkan kawasan Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
#sahih
#yangpastisahih
Sumber Photo fb – Bazaie tuan muda puceceh