PEJALAN KAKI MAUT DIREMPUH TRAK PIKAP
PEJALAN KAKI MAUT DIREMPUH TRAK PIKAP
KOTA BHARU- Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah trak pikap dalam kejadian di hadapan bangunan Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Timur, Jalan Abdul Khadir Adabi di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa, Omar Mohd. Hussin, 34, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan awal mendapati, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Berek 12 menghala ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, lapor KOSMO online.
Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai secara tiba-tiba melintas bahagian kanan ke kiri Jalan Abdul Khadir Adabi.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu tidak sempat mengelak mangsa ekoran jarak yang terlalu dekat.
“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan HRPZ II yang tiba di situ selepas kemalangan berlaku.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke HRPZ II tersebut untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987