Pegawai Polis hadir sampai watikah suntik semangat dan jati diri murid SKTB
Foto atas : Barudin (tengah), Ibrahim (dua dari kanan) dan Syed Mohd Zulkefli (dua dari kiri) bergambar bersama-sama pegawas sekolah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SKTB, baru-baru ini.
Pegawai Polis hadir sampai watikah suntik semangat dan jati diri murid SKTB
LAMBOR KANAN, Perak – Kesudian Ketua Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso hadir di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Sekolah Kebangsaan Telok Bakong (SKTB), Lambor Kanan, Perak, memberi kesan besar kepada pihak sekolah dan murid yang dilantik menjadi pemimpin.
Kehadiran beliau itu bukan setakat menyuntik semangat dan jati diri kepada murid terbabit yang menggambarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menjadi contoh terbaik dalam kepemimpinan dan disiplin tertinggi di samping kepatuhan melaksanakan tugasan.
Guru Besar SKTB, Ibrahim Pardi, menzahirkan rasa terharu di atas kesudian PDRM khususnya Barudin memenuhi jemputan untuk menyampaikan watikah pelantikan kepada murid terbabit walaupun sentiasa sibuk dengan tugas.
“Jaringan yang diwujudkan ini selaras dengan Sarana Sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Menerusi sarana itu semua pihak terlibat berpeluang dan berperanan penting dalam membantu membangunkan modal insan supaya selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kecemerlangan sistem pembelajaran dan mampu membentuk jati diri yang hebat,” katanya pada majlis itu baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber Teknologi dan Pendidikan, Syed Mohd Zulkefli Syed Yahya.
Katanya, majlis itu merupakan detik penuh bermakna dan melakar sejarah berprestij kepada SKTB yang dikelolakan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) bersama Unit Disiplin Sekolah dengan jaringan kerjasama PDRM Daerah Perak Tengah.
Barudin yang berasa terharu dengan jemputan berkenaan menegaskan bahawa kepemimpinan penuh dengan disiplin mampu menjadikan barisan pemimpin muda hari ini seorang murid yang hebat.
“Dalam memikul tanggungjawab diamanahkan murid yang terpilih itu hendaklah sentiasa menghormati guru dan patuh pada arahan yang telah ditetapkan selain mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian khusus ketika bertugas.
“Majlis ini secara tidak langsung mewujudkan satu jaringan kerjasama yang sangat baik dan pihak PDRM sentiasa bersedia membantu pihak sekolah dalam apa juga aktiviti yang diadakan. Ini Bertepatan dengan slogan PDRM, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.
Seramai 56 Pemimpin Muda SKTB menerima watikah pelantikan membabitkan 24 daripadanya Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (20) iaitu dari Tahun 3 hingga Tahun 6. Manakala 12 murid lagi menerima watikah untuk Ketua dan Penolong Ketua Kelas.-SAHIH.