PEGAWAI MASJID PERLU DIUTAMAKAN UNTUK VAKSIN COVID-19
PEGAWAI MASJID PERLU DIUTAMAKAN UNTUK VAKSIN COVID-19
KUANTAN: Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyarankan agar semua pegawai masjid diberi keutamaan mendapatkan vaksin COVID-19.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya menyenaraikan imam, bilal dan guru takmir sebagai petugas barisan hadapan dan diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin.
Saranan itu disuarakan Dr Zulkfili pada program bual bicara Forum Perdana Ehwal Islam, semalam.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Abdul Rahman berkata, memang sepatutnya pegawai dan petugas masjid diberikan suntikan vaksin segera memandangkan mereka terdedah kepada orang ramai dan Jemaah yang hadir di masjid, tempat mereka ditugaskan.
“Imam, bilal dan siak ini tidak ada pilihan lain, mereka tetap kena datang bertugas seperti biasa di masjid atau surau yang mereka diberikan tanggung jawab untuk melaksanakan tugasan itu.
“Ini bermakna, setiap hari mereka terdedah dengan risiko dijangkiti wabak COVID-19 dan seperti kita sedia maklum, ada antara imam dan bilal serta pegawai masjid terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik.
“Jadi, bayangkan kalau mereka disahkan positif (COVID-19), sudah tentu risikonya sangat tinggi dan kita memang ada kes sebelum ini membabitkan pegawai masjid yang terkena COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), seramai 924 imam,859 bilal dan 865 siak yang bertugas di 660 masjid dan kira-kira 2,000 surau di seluruh negeri ini.
Katanya, usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan melaksanakan segera proses pemberian vaksin secara berkelompok kepada seberapa ramai penduduk.
“Kita tidak tahu sampai bila wabak akan berakhir, tapi usaha sudah dan sedang dilakukan sebaik mungkin oleh semua pihak yang berwajib.
“Bagi saya, pertimbangkanlah juga (pemberian vaksin) kepada pegawai masjid ini… kerana mereka juga seperti petugas barisan hadapan yang lain dan sekurang-kurangnya dapat melindungi mereka daripada tercetus Kluster baharu yang memburukkan lagi penularan wabak ini di Pahang,” katanya.-SAHIH