PEGAWAI BANK MAUT KEMALANGAN
BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 102 Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Taman Serai Baiduri di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Hayatul Firdaus Abdul Majid, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Memetik laporan K! Online, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pegawai di sebuah bank itu menunggang motosikal jenis SYM VF3i dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Jambu menuju ke tempat kerja di sebuah bank di Bagan Serai.
“Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Dalam pada masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang guru berusia 48 tahun datang dari arah Bagan Serai ke Taiping tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta itu tidak dapat mengelak dari berlakunya pertembungan dengan motosikal mangsa itu.
“Pertembungan dua kenderaan itu telah menyebabkan mangsa dan motosikalnya tercampak.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat yang telah dijalankan di Hospital Parit Buntar mendapati punca kematian mangsa di sebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Kes di Siasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar /video-Media sosial