PDRM–NGO jayakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2026
Foto : Program kerjasama PDRM berkerjasama dengan NGO dan pelbagai agensi bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.
PDRM–NGO jayakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2026
JERANTUT – Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Kelab Lions Jerantut telah diadakan di Jalan Besar hadapan Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Temin, di sini.
Program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Mukhtar menyampaikan bungkusan kepada pengguna jalan raya di program itu
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata kempen berkenaan bertujuan memastikan keselamatan komuniti di daerah ini di samping menyampaikan mesej pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya.
Menurutnya, program itu turut menjadi platform bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi swasta serta NGO di peringkat daerah dalam aspek pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti.
“Program ini melibatkan ketua-ketua bahagian IPD Jerantut, tujuh anggota JPJ Jerantut, 12 anggota Polis Sukarelawan (PRP) IPD Jerantut serta 20 ahli Kelab Lions Jerantut,” katanya. – SAHIH
