PBKKTM Santuni Bekas Kakitangan KTM B40 Sempena Merdeka
Foto : Dr Radzak (duduk di tengah) merakamkan kenangan bersama ahli PBKKTM dan bekas kakitangan serta keluarga yang menerima bantuan ‘food bank’ di stesen KTM Taiping, Perak.
PBKKTM Santuni Bekas Kakitangan KTM B40 Sempena Merdeka
TAIPING, 5 Ogos 2025 – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 pada 31 Ogos ini, Persatuan Bekas Kakitangan Kereta Api Tanah Melayu (PBKKTM) dengan sokongan Team Tenaga Penggerak (TTP) mengagihkan bantuan kepada bekas kakitangan KTM dan balu kategori B40 di Taiping.
Setiausaha PBKKTM, Abd Rahim Osman berkata, inisiatif Food Bank ini dilaksanakan selepas menerima maklum balas mengenai kesempitan hidup ramai ahli, khususnya ibu tunggal yang bergantung pada wang pesaraan kecil sambil menanggung anak bersekolah.
Melalui kutipan dana TTP, sebanyak 30 bakul makanan asas seperti beras, gula, tepung, teh dan kicap, serta wang zakat diagihkan. Penyampaian dilakukan oleh isteri Yang Dipertua PBKKTM, Datin Saaiyah Mohd Nor, dan isteri Penasihat PBKKTM, Datin Milaton Hassan.
Program turut disertai ziarah ke rumah pemandu komuter KTMB Ipoh, Shahzrul Azwan Mohd Rashid, yang kehilangan tangan kiri akibat ditimpa pokok pada September 2024.
Yang Dipertua PBKKTM, Datuk Ts Dr Abd Radzak Abdul Malek, berkongsi kisah kerjayanya sejak 1960-an, sambil menegaskan komitmen persatuan membantu ahli, asnaf dan ibu tunggal demi kelangsungan hidup.-SAHIH.