PBKKTM Agih Bubur Asyura, Santuni Asnaf Tumpat
PBKKTM Agih Bubur Asyura, Santuni Asnaf Tumpat
TUMPAT – Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) meneruskan amalan kebajikan sempena bulan Muharram dengan menganjurkan Program Ahli PBKKTM dan Khidmat Masyarakat, termasuk majlis mengacau bubur asyura di Madrasah Haji Abdul Karim, Kampung Ana.
Sebanyak empat kawah bubur asyura dimasak secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada keluarga bekas kakitangan KTM, asnaf dan penduduk miskin di Kampung Ana, Padang Mandul dan Tok Oh.
Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua PBKKTM, Datuk Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek, yang hadir bersama Naib Yang Dipertua, Abdul Razak Mohd Yusof, Penasihat PBKKTM, Datuk Dr Sukarno Wagiman, serta ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
Menurut Dr Abdul Radzak, program ini menyantuni ahli persatuan khususnya golongan asnaf dan miskin tegar di Tumpat, sebagai kesinambungan kerja amal PBKKTM.
“Kejayaan majlis bubur asyura ini memberi semangat untuk dijadikan aktiviti tahunan persatuan, selain program bantuan mangsa banjir yang pernah memberi manfaat besar kepada ahli dan penduduk setempat,” katanya.
“Selain bubur asyura, Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman berkata, persatuan turut mengagihkan pakaian terpakai, pampers, bantuan makanan, dan wang tunai kepada 30 ahli terdiri daripada ibu tunggal, pesara KTMB, asnaf, orang kurang upaya dan uzur,” katanya.-SAHIH.