PATUHI SOP SEMPENA TAHUN BAHARU CINA
PATUHI SOP SEMPENA TAHUN BAHARU CINA
KUANTAN: Polis mengingatkan orang ramai, terutamanya masyarakat Cina yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina Jumaat ini, untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Walaupun kelonggaran sudah diberikan bagi mengadakan upacara makan besar, namun ia bukan bermakna mereka tidak perlu mengikuti saranan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, jumlah ahli keluarga dibenarkan menghadiri majlis makan besar juga sudah ditetapkan iaitu tidak melebihi 15 orang dan tidak membabitkan ahli keluarga yang menetap lebih 10 kilometer dari lokasi majlis diadakan.
GAMBAR HIASAN
“Perkara ini sepatutnya sudah jelas dan saya sangat berharap tidak ada pihak yang melanggar SOP yang sudah diumumkan kerajaan.
“Begitu juga dengan orang ramai yang turut bercuti sempena Tahun Baharu Cina, janganlah pula menggunakan cuti ini dengan berkumpul beramai-ramai di kawasan perkelahan atau kawasan rekreasi seperti air terjun atau pantai hingga mengakibatkan pelanggaran SOP berlaku.
“Saya ingat mengingatkan semua pihak bahawa kami di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedia mengambil tindakan tegas dan mengeluarkan saman atau kompaun kepada sesiapa sahaja yang didapati gagal mematuhi SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai Ops Bersepadu Perdana Sempena Tahun Baharu Cina di sekitar bandar Kuantan, hari ini.
Seramai 24 pegawai dan 40 anggota terbabit dalam operasi itu yang memberi tumpuan kepada aspek pematuhan SOP di premis perniagaan dan bank, selain pemeriksaan di kedai makan berikutan keputusan kerajaan membenarkan pelanggan menjamu selera bermula hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, sebanyak 15 kenderaan peronda polis (MPV) ditugaskan melakukan pemantauan SOP di seluruh daerah Kuantan secara berkala.
“Kita sudah mengenal pasti 75 lokasi terpilih yang perlu diberi perhatian dan pemantauan serta rondaan secara berterusan dilakukan di lokasi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai jumlah permohonan merentas daerah dan negeri yang diterima IPD Kuantan, beliau berkata sehingga semalam pihaknya menerima 42,600 permohonan dan 2,600 daripada ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.