PASUKAN TERUJA TUNGGU PENYOKONG KE STADIUM
PASUKAN TERUJA TUNGGU PENYOKONG KE STADIUM
KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun tanpa kehadiran penyokong, pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini boleh tersenyum dengan kepulangan ‘pemain ke-12’ ke stadium yang dijangka mampu memberi ruang kepada mereka untuk mengisi ‘kantung’ masing-masing.
Malah, bukan setakat kutipan tiket pada hari perlawanan namun kebenaran yang diberikan kepada penyokong itu pasti menjadi ‘magnet’ untuk menarik lebih ramai penaja terbabit dalam industri bola sepak tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, hubungan antara pasukan dan penyokong kembali mampu terjalin yang secara tidak langsung memberikan semula satu nafas baharu kepada industri bola sepak tanah air.
“Semua pihak pasti gembira dengan perkembangan ini dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kerja keras Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana mendapat kebenaran semula penyokong masuk ke dalam stadium.
“Selepas sekian lama hubungan dengan penyokong hanya mampu terjalin secara digital, kini pasukan ada hubungan secara fizikal dan dalam masa sama, pulangan pelaburan kepada penaja dapat dilihat secara langsung.
“Selain itu, peratusan untuk penyokong hadir biarpun buat masa ini masih rendah namun saya yakin akan meningkat secara perlahan-lahan mengikut keadaan semasa.
“Di pihak SFC, kami bersedia mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang sudah dibentangkan oleh MFL dan harap mampu menjalankannya pada hari perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC (PFC), Dr Amar Pritpal Abdullah turut gembira dengan perkembangan itu memandangkan ramai penyokong setia skuad Harimau Kumbang sudah tidak sabar ke stadium selepas berjaya layak ke Liga Super musim ini, lapor BH ONLINE.
Tambahnya, biarpun kehadiran penyokong hanya dihadkan sebanyak 10 peratus memandangkan Pulau Pinang masih di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Amar melihat ia permulaan yang baik yang seterusnya mampu menambah kantung kewangan kelab.
“Berdasarkan data daripada perlawanan sebelum ini di Stadium Bandaraya, kami boleh mendapatkan kira-kira 3,500 penonton untuk hadir ke stadium dan boleh mencecah lebih 7,000 untuk beberapa perlawanan yang membabitkan pasukan seperti Perak atau Kedah.
“Kapasiti di Stadium Bandaraya adalah 11,000 dan jika 10 peratus, 1,100 penonton dibenarkan masuk, jadi kami akan cuba mencari kaedah terbaik bagi memastikan penyokong dapat hadir ke stadium selepas sekian lama menunggu,” katanya.