Pasukan silat Sk Rantau Panjang rangkul tiga pingat emas
Foto : Hazi Kadir (belakang, tengah) bersama-sama pasukan elit silat SKRP yang muncul johan pada Kejohanan Festival Gegar Pendekar Muda 2024.
Pasukan silat Sk Rantau Panjang rangkul tiga pingat emas
Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Gelanggang Tok Janggut, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor berjaya merangkul tiga pingat emas dan masing-masing satu perak dan gangsa di Kejohanan Festival Gegar Pendekar Muda 2024 yang diadakan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Selangor, baru-baru ini.
Kejayaan itu hasil penyertaan pasukan elit silat SKRP menyertai kejohanan berkenaan sehingga melayakkan pasukan silat terbabit untuk dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori kanak-kanak dan membawa pulang tropi berserta wang tunai RM300.
Jurulatih PSSGM Gelanggang Tok Janggut SKRP, Iznan Shahme Ab Kadir, berkata kejayaan itu dicapai hasil latihan keras, semangat kental dan sokongan semua pihak khusus warga sekolah dan ibu bapa yang mahukan pasukan silat berkenaan gah dalam kejohanan disertai.
Menurutnya, dia dengan dibantu beberapa guru serta kerjasama padu daripada Guru Besar SKRP, Hazi Kadir yang sentiasa memantau latihan dijalankan membawa kejayaan amat memberangsangkan serta membanggakan semua warga SKRP dan ibu bapa.
Tambahnya, pesilat SKRP pula rajin turun ke gelanggang selepas waktu persekolahan untuk memantapkan tektikal persilatan supaya skil atau kemahiran setiap langkah dan pergerakan tepat yang akan menjadi daya tarikan serta memberi kelebihan dalam penilaian markah.
“Alhamdulillah berkat doa warga sekolah, ibu bapa dan semua anak gayong Gelanggang Tok Janggut SKRP pasukan elit ini berjaya membawa pulang imbuhan kejayaan yang terbaik.
“Selain berjaya dinobatkan sebagai johan kumpulan salah seorang pesilat SKRP yang menunjukkan persembahan cemerlang, Sayed Mohd Aqil turut dinobatkan sebagai pesilat terbaik karnival ini,” katanya.