PASUKAN KHAS BANTU BELA NASIB PENEROKA
TINDAKAN PROAKTIF BAGI PULIH IMEJ FELDA
JERANTUT: Keputusan kerajaan Pahang menubuhkan Pasukan Khas Bagi Menangani Isu FELDA adalah bertepatan dan sesuai dengan perkembangan semasa.
Pengumuman mengenai penubuhan pasukan khas itu yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Keusahawanan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam dilihat sebagai usaha serius kerajaan Pahang membela nasib warga peneroka FELDA.
EXCO Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berpendapat penubuhan pasukan khas itu adalah sejajar dengan Pelan Strategik FELDA diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini.
“Ia adalah keputusan proaktif dan boleh memberi kesan positif kepada aliran tunai FELDA ketika ini.. perancangan teliti dengan kerjasama kerajaan Pahang dan Persekutuan diharap dapat membantu meneruskan agenda pembangunan di kawasan tanah rancangan FELDA di seluruh Pahang dan secara amnya, seluruh negara.
Pengerusi JKKR FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
“Model pembangunan FELDA negeri Pahang boleh dikongsi dengan tanah rancangan FELDA di negeri lain dengan tujuan utama adalah meningkatkan hasil pendapatan warga peneroka dan membangunkan seluruh kawasan FELDA secara seimbang,” katanya.
Beliau turut melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sangat positif bagi memulihkan semula imej FELDA dan seterusnya dapat kembali bersaing secara sihat di peringkat global.
Gambar Hiasan
Katanya, generasi muda FELDA yang terdiri daripada golongan profesional perlu dipelawa menyertai pasukan khas ini untuk memudahkan lagi perancangan pembangunan serta mengenalpasti pendekatan bersesuaian bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi warga peneroka.